Assalamualaikum…
Mungkin ada pasangan di luar sana sudah merancang dan berkira-kira tarikh untuk mendirikan rumah tangga. Mungkin juga ada yang sudah berumah tangga, tapi masih belum selesa menyesuaikan diri sebagai sebuah pasangan.
Saya baru sahaja menghabiskan buku tulisan John Gray bertajuk Mars and Venus on a Date. Terdapat banyak manfaat yang diperolehi dari buku tersebut. Tidak pernah dengar tajuk buku itu? Ya, tulisan John Gray yang lebih popular di kalangan kita ialah Man from Mars and Woman from Venus. Tetapi buku ini juga tidak kurang hebat dari buku-buku beliau yang lain.Di dalam buku ini, John Gray menyampaikan pengalaman beliau, berserta pengalaman-pengalaman peserta ceramah kendalian beliau. Terdapat pelbagai pengalaman dan cerita menarik yang dikongsi bersama dalam buku ini. Jika kita sering disarankan membaca Adabuz-Zifah, maka saya berpendapat selain dari kitab Adabuz-zifah, sesiapa yang mahu mendirikan rumah tangga harus membaca karya besar John Gray ini.
Saya ingin berkongsi tentang masalah JANJI dan FANTASI. Ramai di kalangan kita sebelum mendirikan rumah tangga seringkali bermain dengan janji dan fantasi. Pihak lelaki sering menabur janji, dan pihak perempuan sering bermain dengan fantasi. Terdapat dua cerita tentang JANJI dan FANTASI yang boleh kita renungkan bersama. Tidak kira siapa pun, sama ada baru mahu melangkah ke alam berpasangan, mahupun sudah bergelar pasangan suami-isteri.
CERITA PERTAMA
Tariq dan Shila sudah lama berkenalan. Sepanjang perkenalan beliau, Tariq tidak pernah lekang menaburkan janji yang manis-manis kepada pasangannya. Bagi Tariq tidak salah untuk bermain dengan janji, itu sekadar penyedap rasa dan penenang hati, katanya. Tetapi bagi Shila, setiap janji yang ditabur oleh Tariq dianggap serius dan dia memang menaruh harapan tinggi terhadap janji-janji tersebut.
Shila pula, seringkali memasang angan-angan besar. Angan-angan ini seringkali diluahkan kepada Tariq, tetapi Tariq hanya menganggap itu sebagai fantasi biasa seorang wanita.
Rumah besar, kereta mewah, duit bulanan yang besar, dan pelbagai lagi fantasi Shila diluahkan Tariq.
“Tariq, saya mahu nanti bila kita kahwin nanti. Semua perbelanjaan saya Tariq yang kena tanggung.” Shila mula memasang angan-angan.
“Baiklah, Tariq berjanji.” Tariq pula menabur janji.
“Walaupun Shila berkerja semua benda bila dah kahwin Tariq kena uruskan ya.” Manja Shila kepada Tariq.
Dalam hati Tariq sudah mula risau dan resah. Tetapi baginya, apabila sudah berkahwin angan-angan itu akan segera padam. Tariq beranggapan bahawa permintaan bakal isterinya itu hanya angan-angan. Tetapi bagi Shila sebaliknya, permintaan itu adalah sebuah pengharapan yang besar dari Tariq.
Setelah selesai akad nikah dan duduk bersama di bawah bumbung yang sama. Shila mula menagih segala janji yang ditabur oleh Tariq.
“Sayang, nanti duit sewa rumah dengan kereta kita kongsi ya.” Ujar Tariq kepada isterinya.
“Eh, mana boleh. Bukankah sebelum kahwin abang dah janji yang semua perbelanjaan akan ditanggung abang.” Bentak Shila.
“Buka minda sikit sayang. Sekarang ini sayang berada di alam reality. Mana boleh semua benda abang nak bayar. Gaji abang 2500 sahaja, mana mampu nak bayar rumah, kemudian dua buah kereta lagi. Sekarang ini kita sudah bersama, gaji sayang dan gaji abang adalah sama.” Tariq mula rimas dengan angan-angan isterinya yang masih lagi tidak sedar tentang realiti.
Hancur harapan dan angan-angan Shila. Segala harapannya berkecai. Panas yang disangka sehingga ke petang, akhirnya hujan di tengah hari.
Mereka mula saling menyalahkan, dan sudah mula terbit keretakan perkahwinan yang baru sahaja didirikan. Angan-angan untuk bahagia, entah kemana. Hanya geram dan dendam bermain di dada. Masing-masing menjauhi diri, mencari-mencari kebahagian sendiri.
CERITA DUA
Haikal dan Markisa sudah lama berkenalan sejak memasuki menara gading. Hubungan mereka sangat akrab dan masing-masing memahami peranan sebagai seorang wanita dan lelaki. Haikal seorang yang sangat merancang masa depannya. Pelbagai perkara yang baginya dapat memberi kebaikan pada masa hadapan akan dilakukan. Perancangan beliau termasuklah melabur dan menyimpan duit di institusi kewangan.
Seperti perempuan yang lain, Markisa juga memasang angan-angan yang besar selepas berkahwin. Suatu hari ketika berjumpa, Markisa menyuarakan angan-angannya kepada Haikal.
“Nanti selepas kahwin, kalau boleh Mar mahu Haikal biaya semua perbelanjaan kita berdua.” Markisa memasang fantasi.
Haidar membisu.
“Em… Mar nak rumah besar kemudian setiap tahun kita ke luar Negara ye.” Markisa menambah angan-angannya tanpa berfikir panjang.
“Boleh Haikal cakap sikit?” Haikal cepat-cepat mematikan angan-angan bakal isterinya.
“Semua impian Mar boleh dipenuhi, dengan syarat kita sama-sama menggapainya. Tugas untuk memenuhi cita-cita dan impian itu bukan tergalas di bahu Haikal seorang bila sudah berkahwin. Bila sudah mendirikan rumah tangga, segala impian dan cita-cita harus digalas bersama. Sama ada susah, atau senang, kita harus harungi bersama. Perkahwinan menuntut hak bersama, bukan individu. Sepasang suami isteri, mempunyai hak yang harus dipenuhi antara satu sama lain. Suami adalah imam, dan isteri adalah makmum yang saling berkasih sayang dan saling mentaati.
Mana mungkin, suami berkerja, isteri juga berkerja tetapi seluruh biaya harus ditanggung oleh suami. Ya, memang ada perbelanjaan isteri yang wajib suami biaya. Tetapi isteri juga harus bertimbangrasa dalam perkara ini. Tidak salah meminta mahu belikan pakaian, belikan makanan, bayarkan duit mendandan rambut, tetapi ia harus berpada-pada. Bukan itu sahaja, seharusnya bila berkahwin beban makin berkurang dan bahagia, bukan selepas berkahwin gaduh sana sini hanya disebabkan suami menangung beban diri dan juga isteri yang mementingkan diri.” Haikal lembut menasihati Markisa yang akan menjadi isterinya satu hari nanti. Telus dan mulus dari hati Haikal. Dia tidak mahu membohongi Markisa dengan menabur janji yang bermacam, tetapi suatu hari nanti ia akan dimungkiri.
Setelah bernikah dan hidup bersama. Kedua mereka merancang kewangan dengan baik. Pendapatan yang diterima, disimpan, dilabur dan diguna bersama. Masing-masing tahu peranan, dan masing-masing meredhai antara satu sama lain untuk kebaikan bersama.
“B, inilah realiti yang seharusnya sayang sedar sebelum berkahwin. Betapa indahnya bila hidup saling melengkapi dan saling bersama. Tidak ada sedikit pun perasaan untuk mementingkan diri, mahupun bersifat culas terhadap hubungan ini.” Luah Markisa sambil menyandarkan kepalanya di bahu Haikal.
“Kita bahagia dengan kesenangan yang kita capai sebab kita bersama-sama. Kehidupan berumah-tangga ini seperti menaiki kapal yang besar. B tidak boleh mengendalikannya seorang diri. B sebagai kapten harus sama-sama mengendalikan kapal besar ini bersama anak kapal. Jika B mementingkan diri atau anak kapal mementingkan diri, maka kapal besar itu akan karam dilambung ombak.”Bicara lembut Haikal pada isteri kesayangannya.
“Oh ya, selepas abang berkira-kira duit simpanan dan pelaburan kita. InsyaAllah tahun depan kita beli lagi sebuah rumah di Johor bahru dan menunaikan haji. Rumah di Melaka pula kita jadikan tempat persinggahan bila kita pulang ke Melaka.” Haikal memeluk erat tubuh isterinya. Ketegasan dan kejujuran dia semasa awal perkenalan membuahkan hasil yang baik. Markisa tersenyum lebar mendengar janji sebenar yang ditabur suaminya.
“Bang, sakit perut sayang.” Markisa mengadu.
“Eh, budak kecil dalam perut sayang ini nakal ye. Jangan nakal-nakal ye, nanti ibu sakit.” Haikal membelai perut Markisa. Hati mereka bahagia kandungan Markisa sudah berusia 8 bulan. Mereka berdua tidak sabar menanti kehadiran orang ketiga yang melengkapkan kehidupan bahagia mereka.
Itulah dua cerita yang berbeza tetapi persoalannya sama iaitu JANJI dan FANTASI. Tariq tewas dengan janji yang ditaburnya, manakala Shila kecewa dengan fantasinya yang tidak berbalas. Kehidupan mereka sebagai suami-isteri terus saling menyalahkan antara satu sama lain. Manakala Haikal dan Markisa terus bahagia dengan kejujuran dan ketegasannya.
Mujur Haikal mengingatkan realiti yang sebenar tanpa menabur janji, dan Markisa pula mengakui fantasinya itu sukar untuk diterjemahkan. Mereka terus bahagia dengan saling melengkapi dan berkasih sayang. Tidak ada perasaan kecewa mahupun saling menyalahi. Malahan mereka akan terus bahagia dengan kehadiran anak yang terhasil dari kebahagian dan kasih sayang mereka. Semuanya kerena mereka sedar tentang erti hidup bersama.
Saya tahu betapa ramai diluar sana berada dalam salah-satu kelompok ini. Tetapi saya yakin, usia sesebuah perhubungan mematangkan dan seterusnya menjadikan masing-masing sedar tentang peranan yang harus dimainkan. Tidak salah untuk berangan-angan dan menabur janji, tetapi semua itu boleh dilakukan jika ia dilakukan bersama-sama. Ingatlah bahawa kehidupan mencari bahagia, sudah pasti akan menempuh pelbagai dugaan dan cubaan. Hanya iman dan taqwa membawa kita ke puncak bahagia.
Salam mencari cinta bahagia
P/S : kepada mereka yang masih lagi keseoangan dan ingin mencari teman hidup untuk di jadikan isteri atau suami , bolehlah klik di sini
semakkini says
Sangat setuju dengan Tn ni. Kedua-dua situasi memang terjadi di dunia realiti.
semakkini recently posted…Senarai Kolej Matrikulasi KPM Di Malaysia
Mama Hakim says
Rajin tuan membaca, tak tahu pula dah ada buku sambungan women from venus, men from mars
Dulu kami baca masa baru kahwin
Mama Hakim recently posted…Jerawat Batu Di Dagu & Dahi? Apa Badan Kita Cuba Beritahu!