Assalamualaikum…
Salam Maal Hijrah 1439 dan Selamat Menyambut Tahun Baharu terlebih dahulu saya ucapkan buat semua umat Islam di Malaysia terutama kepada rakan-rakan seperjuangan , blogger dan juga para pembaca setia blog ini . Jika kita imbas kembali peristiwa dan sejarah mengenai Awal Muharam atau Maal Hijrah , ia merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam serta merupakan hari pertama dan tahun baru bagi Takwim Hijrah .
Pada hari ini , 22 September 2017 bersamaan 1 Muharram 1439 Hijrah , Seluruh umat Islam menyambut Hari Maal Hijrah atau Awal Muharam dan ianya juga merupakan hari cuti umum di Malaysia . Pada tahun ini , tema Maal Hijrah 2017 ialah ” Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara “ .
Saya sertakan sekali teks Berkaitan ” Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara “ dari Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) untuk bacaan dan rujukan bersama .
” KESATUAN UMMAH KESEJAHTERAAN NEGARA “
Setiap masyarakat dalam sesebuah Negara mengharapkan suasana yang aman , damai , harmoni , selamat , sejahtera dan maju dalam menjalani semua aspek kehidupan. Namun keamanan , kedamaian , keharmonian , keselamatan dan kesejahteraan Negara serta kemajuan ummah tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan usaha yang gigih ke arah mewujud dan mengekalkan suasana tersebut berterusan hingga ke generasi yang akan datang.
Setiap anggota masyarakat khususnya warganegara Malaysia harus berusaha bersungguh-sungguh sama ada secara individu mahupun secara kolektif bagi memastikan kesatuan ummah yang telah sedia terbina ini dijaga, dipupuk dan dimantap agar ianya tidak diganggu gugat oleh mana-mana unsur pelampau atau keganasan. Kesatuan ummah adalah satu nikmat terbesar kurniaan Allah SWT. Ia tidak boleh terbina secara semulajadi. Ia diasaskan atas kesatuan akidah, pelaksanaan ibadah, penghayatan akhlak dan cara hidup berdasarkan tuntutan Islam yang bermatlamat bagi mencapai Maqasid Syariah. Nikmat kesatuan ummah ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…”. (Ali-‘Imran: 103).
MEMANTAPKAN KESATUAN UMMAH BAGI KESEJAHTERAAN NEGARA
Kesejahteraan Negara tidak akan tercapai sepenuhnya jika aspek kesatuan ummah tidak dapat dijaga dan dimantapkan dengan baik. Usaha untuk memupuk kesatuan ummah ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara; antaranya dengan memperkukuhkan pegangan terhadap ajaran Islam dan menjauhi larangannya, menghayati konsep kepimpinan dalam Islam yang diamanahkan untuk mentadbir , mengurus , menguasai dan memakmurkan bumi Allah SWT mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan pengamalan nilai-nilai murni melalui jalinan hubungan silaturrahim dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kesatuan ummah turut dapat ditegakkan apabila sesebuah masyarakat dapat menghindari perasaan permusuhan , benci-membenci dan menangkis kecelaruan kefahaman dan aliran pemikiran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah . Ia juga dapat dimantapkan apabila para pemimpin dan masyarakat berperanan dalam mengamal dan mewujudkan keadilan dalam masyarakat yang berbilang kaum di Negara ini.
Demikianlah dengan wujudnya kesatuan ummah, ia dapat memberikan impak yang sangat besar terhadap kemakmuran dan kesejahteraan Negara yang boleh diukur melalui kestabilan dalam aspek-aspek berikut :
a) KESTABILAN SIASAH
Mengimbau sejarah Islam , Piagam Madinah merupakan dokumen pertama yang menjadi asas kepada urus tadbir sesebuah Negara. Kejayaan Rasulullah SAW ini telah menghasilkan suasana kehidupan rakyat yang mementingkan ikatan ukhuwah dan bersatu padu menjaga keamanan Negara.
Dalam konteks sebuah Negara berdaulat yang memiliki komuniti majmuk dan berlatarbelakangkan pelbagai kaum, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan merupakan punca kuasa dan rujukan utama dalam usaha menjamin hak-hak kepelbagaian tersebut. Kestabilan siasah dalam urus tadbir Negara sangat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kuasa dan tenaga penyatuan berteraskan persefahaman , kerjasama , perundingan dan persetujuan. Pendekatan yang mantap digunakan sebagai saluran dalam pentadbiran Negara telah berjaya menghasilkan suasana perpaduan, saling menghormati dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat . Natijahnya , kesejahteraan hidup terpelihara, semangat patriotisme rakyat meningkat serta imej keselamatan dan keamanan Negara dapat diperkasakan.
b) KEMANTAPAN EKONOMI
Piagam Madinah juga turut menggariskan perundangan agar semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam membina suasana landskap ekonomi yang kukuh. Kota Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, bangsa dan agama bersatu pada satu paksi perlembagaan yang menjamin hak kebebasan kepada mereka dalam menjalankan urusan seharian dan ekonomi . Penetapan cukai jizyah (cukai kepala) kepada golongan kafir zimmi telah menzahirkan konsep perekonomian ketika itu dan ia telah berjaya menjamin kehidupan sejahtera dan harmoni tanpa sebarang penindasan.
Menjaga dan memajukan sesebuah Negara adalah menjadi kewajipan kepada semua umat Islam. Perkara ini dapat difahami melalui konsep kewajipan membayar zakat yang diwajibkan ke atas muslim bagi menjaga hubungan kemasyarakatan dan perpaduan sesama manusia. Dengan terbinanya perpaduan dan kesatuan ummah ini dapat membantu membangun masyarakat penyayang serta menstabilkan kesejahteraan dan kemakmuran Negara.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan , telah berjaya membawa Negara Malaysia mengorak langkah ke hadapan menuju Negara maju 2020 dalam usaha menghapus kemiskinan secara mutlak. Bagi mengekalkan kesatuan ummah di Negara ini dalam jangka panjang, Kerajaan telah menentukan wadah baharu iaitu Transformasi Nasional 50 atau TN50 sebagai program yang akan membawa generasi muda ke arah pembangunan Negara menjelang tahun 2050. Generasi muda di Negara ini perlu dibentuk dan dididik dengan pelbagai ilmu dan kemahiran serta berkepakaran tinggi agar mereka dapat menjadikan Negara Malaysia sebuah Negara maju setanding dengan negara-negara maju di dunia ini.
c) KESEIMBANGAN SOSIAL
Kepelbagaian bangsa, sosial, agama dan adat resam merupakan suatu keunikan dan hikmah terbesar kepada manusia. Kepelbagaian ini membolehkan manusia mempelajari dan mengenali antara satu sama lain serta mengambil manfaat daripadanya.
Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam, model Negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW dapat dijadikan panduan dan rujukan. Penghijrahan masyarakat Islam ke Madinah adalah merupakan golongan minoriti berbanding dengan penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk , maka tertegaklah sebuah Negara yang kuat , aman dan damai serta bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W.
Keseimbangan sosial dalam Islam bukan sekadar dicerminkan melalui hubungan baik sesama orang Islam sahaja, malah merangkumi kepada kaum bukan Islam juga. Sejarah di zaman Rasulullah SAW mencatatkan masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman damai di Madinah, kerana hak-hak mereka terpelihara. Kesan daripada keadilan Islam inilah, telah berjaya menarik masyarakat bukan Islam memeluk Islam. Di samping itu juga mereka tertarik hati dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam yang terserlah melalui akhlak terpuji.
Dalam konteks Negara Malaysia, pembangunan untuk semua kaum dan nilai agama merupakan dua unsur penting yang mendasari perencanaan kerajaan. Pada masa yang sama kita perlu akur bahawa isu kepelbagaian kaum dan agama perlu diurus dengan baik agar maruah Negara terpelihara dan tidak disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Prinsip yang sangat jelas dan didokong oleh Negara ialah Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan bebas. Apa yang penting ialah sikap dan sifat keterbukaan setiap anggota masyarakat dalam memahami isu-isu berkaitan agama dan perkauman. Ianya mestilah ditunjangi dengan rasa hormat menghormati dalam hidup bermasyarakat agar kesatuan ummah dapat dikekalkan.
Kesimpulannya , kesatuan ummah dapat memberi impak yang besar ke arah kesejahteraan dan pembangunan Negara. Ia memperkukuhkan ukhuwah yang kuat dalam kalangan masyarakat dan sistem sosial sesebuah Negara, sehingga terciptanya satu bangsa yang mempunyai satu hadaf, pegangan dan tindakan yang bersepadu. Akhirnya terbinalah satu kehidupan yang makmur , kehidupan yang berlandaskan penghayatan Maqasid Syariah , Islamiah dan dengannya lahirlah ummatan wasatan dan wujudlah sebuah Negara yang disifatkan sebagai Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur (Negara yang baik dan diampuni Tuhan).
Sumber dan Kredit kepada : Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM )
Azam Sempena Tahun Baru 1 Muharram 1439 Hijrah
In Shaa Allah saya akan sentiasa memfokuskan kerjaya agar dapat menampung kehidupan yang semakin mencabar ini . Sambil-sambil itu , kena jaga juga kesihatan tubuh badan agar sentiasa segar dan brsemangat untuk memulakan kerja dan tugasan harian .
Cabaran dan dugaan sebagai blogger juga semakin hebat , In Shaa Allah saya akan cuba usahakan dan buat yang terbaik untuk menjadi blogger walaupun kadang-kadang masa terlalu cemburu dengan komitmen kerja tetapi saya akan cuba juga untuk meluangkan sedikit masa untuk menziarahi blog rakan-rakan untuk mebaca dan meninggalkan komen .
Akhir kata …selamat bercuti dan selamat menyambut Maal Hijrah 1437H kepada semua muslimin dan muslimat ” Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara ” .
maszull says
assalamualaikum wan…salam maal hijrah yer…
maszull recently posted…KARNIVAL JOM BERSENAM BERSAMA RAKYAT JOHOR 2017
Belang Tarung says
tahun baru dalam islam lebih tepat maknanya…kita berhijrah menjadi lebih baik…salam maal hijrah jugak tuan
Belang Tarung recently posted…Pengeluaran Buku Komik Majalah Komik Gempak Dihentikan
Mazni Azmi says
Selamat menyambut tahun baru hijrah tuan
semoga Allah berikan kejayaan pada tuan dan keluarga tahun ini
amin
Mazni Azmi recently posted…16 Tanda Awal Kehamilan & Alahan mengandung yang wajib suami tahu!