Isi Kandungan
Assalamualaikum…
Alhamdulillah… Syukur masih diberi kesempatan untuk bertemu Bulan Syawal 1446 Hijrah pada tahun 2025 ini setelah menahan nafsu makan dan minum di siang hari di Bulan Ramadan . Seluruh Umat Islam di Malaysia mula menyambut Syawal pada hari Rabu kelmarin iaitu pada 31 Mac 2025 seperti yang disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan jatuhnya 1 Syawal 1446 Hijrah pada hari Ahad yang lepas ( 30 Mac 2025 ) .

Ketika artikel ini ditulis..Semua umat Islam sudah menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang ke 7, yang bermakna sudah seminggu la kita semua beraya ..
Maksud Hari Raya Aidil Fitri
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah yang juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran.
Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, merupakan hari raya bagi kesucian manusia.
Ia juga disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita dan kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia khususnya.
Umat Islam seharusnya menyambut hari raya ini dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT di samping memenuhi masjid-masjid pada malam dan pagi hari raya dengan memuji Allah SWT dan bermaaf-maafan mengakui salah silap dan kelemahan diri.
Selain itu, mereka juga dituntut menziarahi bagi meraikan golongan fakir miskin dan muallaf pada hari tersebut.

Sejarah Hari Raya Aidilfitri
Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan. Kedua-dua perayaan ini merupakan tradisi yang berasal dari zaman Persia Kuno. Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian iaitu tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi di samping dijamu dengan makanan enak dan minuman memabukkan. Pada zaman itu setiap kaum mempunyai hari raya masing-masing.
Setelah turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Daud dan Nasai)
Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy. Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menewaskan hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.
Antara amalan para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu di hari raya ialah mereka mengucapkan: “taqabbalallahu minna wa minka,” merujuk kepada Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Baari.
Lalu bagaimana jawapan untuk ucapan taqabbalallahu minna wa minkum?
Dalam riwayat sahabat dan salaful salih, jawapan bagi taqabbalallahu minna wa minkum adalah dengan doa yang sama iaitu taqabbalallahu minna wa minkum juga.
Penentuan Hari Raya Aidilfitri
Hari raya ini ditentukan melalui dua cara iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan).
Rukyah atau melihat anak bulan pada petang 29hb hijrah bagi menentukan sama ada keesokan harinya 30hb atau 1hb.
Jika anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam maka keesokan harinya dikira awal bulan baharu tetapi sekiranya tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30hb.
Di Malaysia dan negara MABIMS, sekiranya anak bulan tidak kelihatan berdasarkan kaedah rukyah maka kaedah Imkanul Rukyah akan digunakan bagi menentukan keesokan harinya 30 hb atau 1 hb.
Kaedah Imkanul Rukyah adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:
- Umur anak bulan melebihi 8 jam ijtimak (bumi, bulan dan matahari berada segarisan).
- Ketinggian anak bulan di ufuk selepas matahari terbenam sekurangnya 2 darjah.
- Jarak Lengkung di antara pusat matahari dengan pusat bulan sekurang kurangnya 3 darjah. Sekiranya anak bulan pada petang 29hb memenuhi kriteria Imkanul Rukyah maka keesokan harinya dikira sebagai awal bulan baru dan bulan tersebut menjadi 29 hb sahaja.
Adab Pada Hari Raya
Antara adab-adab pada hari raya ialah:
- Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain.
- Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
- Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
- Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain.
- Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain.
- Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya.
Salam AidilFitri 1446 Hijrah 2025 Masihi
Pada kesempatan ini , Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1446 Hijrah kepada semua rakan-rakan bloggger dan tidak lupa juga kepada pembaca setia blog ini . Pada tahun ini beraya di Sungai Rambai , Melaka bersama anak dan isteri serta mertua . Aktiviti pada hari raya pertama sama juga seperti tahun-tahun yang lepas iaitu membuat persiapan memakai baju melayu yang baru serta kemas dan sembahyang raya dan takbir raya di Surau Al-Ekhsaniah , Taman Sri Rambai , Sungai Rambai , Melaka . Aktiviti menikmati juadah paling wajib semasa sambutan hari raya iaitu ketupat , rendang , sambal kacang dan lodeh bersama-sama keluarga . Kemudian sesi bermaaf-maafan dengan semua ahli keluarga dan berehat sebentar untuk ” recharge ” tenaga .
Akhir kata , Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir Dan Batin kepada semua kenalan terutama kepada rakan-rakan blogger dan para pembaca setia blog wanzawawi.net . Halalkan makan dan minum dan saya ingin menyusun sepuluh jari meminta maaf dan ampun jika ada tersilap atau terkasar bahasa secara sengaja atau tidak sengaja selama kita berkenalan di dalam dunia blogging ini . Kepada rakan-rakan yang tidak dapat pulang ke kampung halaman , jangan bersedih ok…gunakan teknologi yang ada untuk berhubung dengan keluarga tersayang .
Sumber artikel : https://canselori.umt.edu.my/pengertian-hari-kemenangan-hari-raya-aidilfitri/
Sumber poster : https://studentportal.my/poster-selamat-hari-raya-aidilfitri/
Polisi Komen:
Segala aktiviti di dalam ruang komen ini direkodkan . Sila berkomen dengan berhemah .