Assalamualaikum…
Alhamdulillah pada hari ini Jumaat 31 Julai 2020 bersamaan 10 Zulhijjah 1441 Hijrah , Umat Islam di Malaysia khususnya menyambut Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban . Saya berasa syukur sangat-sangat kerana masih lagi diberi peluang dan kesempatan menyambut Hari Raya Aidil Adha dengan suasana yang cukup menarik bersama-sama keluarga tersayang . Perbezaan pada tahun ini masih sama seperti sambutan Hari Raya Aidil Fitri kelmarin iaitu dengan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP ) dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi usaha memutuskan rantaian Covid-19 .
Suasana sambutan pada pagi Hari Raya Aidil Adha tahun ini dengan hujan gerimis yang agak lebat dan berasa sejuk yang teramat sangat . Syukur dapat menunaikan Solat Hari Raya Aidil Adha di kampung bersebelahan dengan taman ini . Tahun ini , saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung halaman selepas menunaikan sembahyang Jumaat di masjid . Sememangnya lebih seronok dan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan jika berpeluang menyambut raya korban bersama keluarga tersayang di kampung halaman . Walaupun penat dan letih serta mengantuk selepas balik bekerja shift malam dan berperang di dapur membantu mak dan abah menyiapkan hidangan wajib hari raya seperti ketupat , lodeh , sambal kacang dan rendang , muka tetap kena ada senyum dan gembira 🙂 .
Pada kesempatan ini saya sertakan dari artikel yang lepas-lepas berkaitan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban untuk bacaan bersama .
Hari Raya Aidil Adha
Hari Raya Aidil Adha (bahasa Arab: عيد الأضحى ‘Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh , sebelas , dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah pada setiap tahun . Ia Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah , diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah . Kemudian sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu , salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban . Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah .
Dari segi bahasa , korban bermaksud dekat , manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya . Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah , bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam . 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah , di luar bandar Mekah .
Pada hari raya , orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik , paling bersih , dan juga mengenakan wangi-wangian . Pada pagi hari raya korban , umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua . Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri . Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban . Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid .
Akhir kata , Salam Aidil Adha 1441 Hijrah 2020 Masihi buat semua pengunjung dan pembaca setia blog ini dan juga rakan-rakan blogger tidak kira di mana kalian semua berada . Hati-hati memandu pulang ke kampung , biar lambat , asalkan selamat ..Semoga selamat sampai ke destinasi .
Syazni Rahim says
Salam aidil adha wan 🙂
Syazni Rahim recently posted…5 Masakan Berasaskan Daging Yang Bukan Seperti Kebiasaan
Wan Zawawi says
Terima kasih Syazni
Salam Aidil Adha juga 🙂